Berita Harian
Sabah&Sarawak: UMS sasar 2010 capai piawaian
Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah
bhnews@bharian.com.my
Pastikan tahap kualiti diiktiraf Sirim Bhd mampu ditingkatkan
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini menetapkan 2010 sebagai sasaran mencapai piawaian MS ISO 9001: 2008 ke arah meningkatkan kualiti pengurusan dan perkhidmatan yang ditawarkan universiti itu.
Timbalan Pendaftar Pusat Perkembangan Akademik UMS, Norti Sirin, berkata sasaran itu adalah kesinambungan daripada persijilan kualiti yang diperoleh UMS sebelum ini, iaitu MS ISO 9000: 1994 dan MS ISO 9001: 2000.
Katanya, usaha untuk mencapai piawaian dalam persijilan itu penting bagi memastikan tahap kualiti yang diiktiraf Sirim Bhd sebelum ini mampu ditingkatkan.
"Pengurusan UMS berusaha mengekalkan pencapaian yang diperoleh sebelum ini melalui pengiktirafan MS ISO 9000:1994 dan MS ISO 9001: 2000 sebagai penanda aras tahap kualiti yang diamalkan di universiti ini.
"Kami juga menyasarkan satu lagi persijilan kualiti, iaitu MS ISO 9001: 2008 yang mungkin diperoleh tahun depan. Sekarang, kami berusaha untuk melaksanakan amalan kualiti yang menjurus kepada persijilan itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada Bengkel Juruaudit Dalam MS ISO 9001:2008 anjuran Pusat Perkembangan Akademik UMS yang diadakan di Dewan Bankuasi UMS, di sini semalam.
Bengkel disertai 50 kakitangan UMS itu dikendalikan penceramah Jabatan Perkhidmatan dan Kualiti Sirim Bhd, Idrus Ali.
Norti berkata, bengkel berkenaan bertujuan mendedahkan peserta mengenai kaedah dan tanggungjawab sebagai Juruaudit Dalam UMS mengikut piawaian terbaru persijilan MS ISO 9001: 2008.
"Bengkel ini juga memberi latihan dan pengetahuan kepada Juruaudit Dalam UMS yang baru bertugas untuk meningkatkan kualiti kerja masing-masing," katanya.
Beliau berkata, bengkel seumpama itu akan terus diadakan secara berperingkat bagi memperkasa kemahiran setiap Juruaudit Dalam UMS dalam mencapai persijilan MS ISO 9001:2008.






